Saturday, March 28, 2009

Logo Sekolah

SK Jitra 2


Sekolah Kebangsaan Jitra II (SK Jitra II) dibina pada 1995. Ia terletak di sebelah barat , kira-kira 500 meter daripada Pekan Jitra II, dikelilingi oleh sawah padi. Lokasi sekolah ini adalah 20km daripada Bandaraya Alor Setar, 30km daripada Kangar dan 30km daripada sempadan Malaysia-Thailand.

SK Jitra II dibina bagi memenuhi kehendak pertambahan penduduk Jitra. SK Jitra I (1906) yang terletak di Pekan Jitra I telah dihimpit oleh kemajuan sehingga pagar hadapannya telah beberapa kali disempadani semula kerana pembesaran jalan. Oleh yang demikian, SK Jitra I telah mengorbankan padang sekolahnya bagi membina bangunan baru untuk menampung jumlah murid yang semakin bertambah. Oleh yang demikian, SK Jitra II ditubuhkan. Pada peringkat awal penubuhan SKJ II, beberapa guru daripada SKJ I dipindahkan ke SKJ II bagi membolehkan pembelajaran berjalan dengan sempurna di sekolah baru tersebut.

SK Jitra II adalah sebuah sekolah Gred B, dan tergolong di dalam kumpulan sekolah luar bandar. Secara geografinya, SK Jitra II dikelilingi oleh kampung-kampung dan sawah padi, walaupun terletak berhampiran dengan Pekan Jitra II. SK Jitra II menempatkan 44 orang tenaga pengajar yang diketuai oleh Guru Besar SK Jitra II, iaitu Pn Hjh Naemah Ahmad. Terdapat lebih 700 orang murid yang mendaftar di sini. SK Jitra II mempunyai tiga blok bangunan utama. Blok A menumpukan kepada urusan pentadbiran dengan meletakkan pejabat, bilik guru, bilik mesyuarat, pusat sumber dan bilik bimbingan & kaunseling. Kelas murid pra-sekolah juga ditempatkan di blok ini.

Blok B dan Blok C menempatkan 16 buah kelas, dewan peperiksaan, dewan solat, dan bilik-bilik Panitia. Ketiga-tiga blok ini dihubungkan dengan koridor berbumbung, yang turut bersambung dengan kantin sekolah. Bilik komputer terletak agak jauh daripada pusat pembelajaran, iaitu di belakang kantin sekolah. Padang sekolah adalah mencukupi untuk menjalankan aktiviti sukan dan olahraga.

Kelas-kelas diasingkan mengikut perkembangan murid. Kelas pertama adalah Melur, diikuti oleh Seroja dan Teratai. Tahap 6 mempunyai kelas tambahan istimewa iaitu kelas 6 Excellent.